Latar belakang dan rakaman Fragmen

Fragmen menyaksikan buat pertama kalinya Siti Nurhaliza bekerjasama dengan penyanyi dan komposer Singapura dan Malaysia seperti Awi Rafael (kiri) dan Faizal Tahir (kanan).[5]

Fragmen ialah album pertama Siti Nurhaliza hasil kerjasama antara syarikat miliknya, Siti Nurhaliza Productions dan Universal Music Malaysia sejak Julai 2011.[6] Penerbitan album ini bermula pada Oktober 2012 dengan pelancaran single "Galau" pada 11 Januari 2013.[7] Walaupun dilancarkan secara digital pada Januari 2013, Galau dipersembahkan semasa konsert Dato' Siti Nurhaliza - Live in Kuantan pada November 2012.[8] Bagaimanapun, apabila Fragmen dilancarkan pada 30 Jun 2014,[1] "Galau" telah digugurkan daripada senarai runut terakhir. Menurut pengurusannya, pelancaran "Galau" hanya untuk tujuan promosi untuk memperkenalkan usaha kerjasama antara Siti Nurhaliza Productions (SNP) dan Universal Music Malaysia kepada umum dan tidak sesuai dimuatkan dalam album ini kerana kelainan hala tuju muzik.[9]

Pada 15 Mei, [10] single pertama album ini, “Lebih Indah” telah dipersembahkan semasa rakaman rancangan khas 90 minit sempena Hari Raya Aidilfitri bersama TV2, Konsert Sanggar Lebaran Dato’ Siti Nurhaliza.[11] Rancangan ini disiarkan selepas itu, pada 8 Ogos.[12] Dirakamkan pada 2013, lagu ini dikatakan mencerminkan emosinya apabila menjaga suaminya yang terlibat dalam kemalangan motosikal di New Zealand pada Disember 2012.[13]

Proses untuk mengumpulkan lagu mengambil masa tiga bulan. Saya dapat lebih kurang dalam 40 buah lagu. Selepas semua lagu menjalani proses penilaian bersama dengan saya, Universal Music dan pihak Siti Nurhaliza Productions sendiri, sembilan lagu dipilih untuk dimuatkan dalam ‘Fragmen’.

— Siti Nurhaliza semasa merakamkan album "Fragmen".[14]

Pada bulan Julai, Pengarah A&R Universal Music Malaysia, Mujahid Abd Wahab mendedahkan bahawa kos penerbitan keseluruhan yang telah dibelanjakan Universal untuk album ini mencecah hampir RM 200,000.[15] Menurut Mujahid, "Kerjasama yang dijalin Universal Music Malaysia bersama Siti tidak melihat dari sudut perolehan semata-mata sebaliknya ia lebih daripada itu. Pihak Universal Music Malaysia sanggup mengeluarkan belanja besar untuk pembikinan album terbaru Siti memandangkan dia [i]alah aset negara. Sebagai penyanyi terbaik, sudah tentu albumnya harus setaraf dengan statusnya."[16] RM 200,000 dikatakan hanya meliputi kos pengeluaran album sahaja.[17]

Dalam proses penciptaan album, album itu menyaksikan kerjasama pemuzik, penggubah dan juruteknik dari pelbagai negara. Proses 'mastering' album ini dilakukan oleh Sterling Sound Studio di New York.[17] Ade Govinda, penggubah muzik dari Indonesia yang menyumbang "Terbaik Bagimu", juga salah satu penerbit untuk album.[18]

Daripada sembilan lagu yang dimuatkan dalam album ini, tiga daripadanya ("Mula dan Akhir", "Sanubari" dan "Membunuh Benci")[18] [nota 2] yang dipilih daripada kerjasama beliau dengan Bengkel Cipta Ekspres Badan Pelindung Hak Cipta Karyawan Malaysia pada 25 April 2013. [14] Semasa bengkel itu diadakan, 10 pencipta lagu dan penulis lirik 10 yang dipilih diberi tiga hari untuk mencipta 10 lagu, sebelum mereka dibentangkan kepada Siti agar beliau menilai kesesuaian lagu-lagu tersebut untuk dimuatkan dalam albumnya.[14] Bengkel ini menandakan kali kedua Siti bekerjasama dengan MACP untuk mencari bahan-bahan baru untuk album sejak album tradisional terakhir, Lentera Timur.[14]

Asalnya dimuatkan sebagai runut kesepuluh untuk album ini, "Seluruh Cinta", duet dengan penyanyi Indonesia, Cakra Khan tidak dimasukkan dalam suntingan akhir album. Lagu yang dirakamkan dalam tempoh tiga jam pada 29 Mei 2014 di My Music, Jakarta Selatan, Indonesia [20][21]kemudian didedahkan oleh pengurusan Siti sebagai penjadian sebuah projek yang berlainan, walaupun kemungkinan kemasukannya sebenarnya dipertimbangkan. Lagu ini akhirnya dimasukkan ke dalam versi Indonesia bagi album Fragmen apabila ia dilancarkan dan dikeluarkan secara rasmi pada 21 Oktober 2014.[22]

Rujukan

WikiPedia: Fragmen http://www.astroawani.com/budget/news/show/siti-nu... http://www.astroawani.com/news/show/apm-2014-siti-... http://www.budiey.com/konsert-dato-siti-nurhaliza-... http://www.budiey.com/siti-nurhaliza-kini-bersama-... http://news.getmusicasia.com/2014/05/04/dato-siti-... http://gilamuzik.com/2014/10/siaran-media-terbaik-... http://musik.kapanlagi.com/berita/album-fragmen-si... http://musik.kapanlagi.com/berita/siti-nurhaliza-p... http://mediahiburan.karangkraf.com/memang-hot/peny... http://mediahiburan.karangkraf.com/penyanyi-malays...